Berita Pertanian

PROGRAM Y.B DATO’ WIRA MOHD JOHARI BIN BAHARUM, TIMBALAN MENTERI PERTANIAN DAN INDUTRI ASAS TANI DI MAJLIS PERASMIAN MINI MAHA DI BATU PAHAT JOHOR, 24 JANUARI 2010

Program Mini MAHA ini telah dirancang dan disusun dengan rapi bagi memberi peluang kepada penduduk-penduduk setempat dan yang berhampiran untuk mendapat maklumat dan menyaksikan perkembangan terbaru dalam industri pertanian di negara kita. Melalui program ini para pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan dan Agensi di bawahnya turun padang untuk memberi penerangan kepada orang ramai mengenai hala tuju, strategi, program/projek, bantuan dan perkhidmatan sokongan yang disediakan oleh Kementerian ini serta Jabatan dan agensi di bawahnya.

Pintu Masuk Utama Program Mini MAHA Batu Pahat, Johor
Pintu Masuk Utama Program Mini MAHA Batu Pahat, Johor

Maklumat-maklumat mengenai program/projek yang telah dirancang dan peluang-peluang yang tersedia di sektor pertanian dapat diwarwarkan kepada orang ramai secara terus menerusi program seperti ini. Maklumat-maklumat mengenai bantuan serta insentif dan juga perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian, jabatan dan agensi juga dapat dihebahkan untuk makluman golongan sasar. Di samping itu, pameran dan ekspo juga diadakan bersempena dengan Mini MAHA ini.

Program Mini MAHA ini telah diadakan di beberapa tempat sebelum ini dan akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia merupakan salah satu kaedah bagi pegawai-pegawai Kementerian, Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian berjumpa dan berbincang dengan golongan sasar di peringkat akar umbi bagi memahami kehendak dan masalah yang dihadapi oleh mereka. Inilah komitmen kementerian bagi membantu petani, penternak, nelayan dan usahawan asas tani meningkatkan taraf hidup mereka.

Y.Bhg Dato’ TKSu (R) ketika ditemuramah oleh pihak media

Y.Bhg Dato’ TKSu (R) ketika ditemuramah oleh pihak media



Mini MAHA 2009 jadi tarikan


Mini MAHA 2009 tempat usahawan kecil mempromosikan barangan mereka terus kepada orang ramai. - utusan/ismail kamadin


CHANGLUN 4 Nov. - Sebut sahaja Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), pasti ramai yang sudah mengenalinya iaitu acara terbesar anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Ternyata pameran berskala besar itu selain dapat menarik pengunjung untuk mendalami aspek pertanian dan mendekati kehidupan petani, ia juga menjadi tempat usahawan memperkenalkan produk masing-masing.

Ia sebagai langkah awal dalam usaha mempromosikan jenama keluaran usahawan tempatan ke peringkat lebih tinggi termasuk ke pasaran antarabangsa.

Hasil daripada kejayaan MAHA membantu sektor pertanian dan meningkatkan penyertaan usahawan khususnya bumiputera dan bidang keusahawanan, kementerian berkenaan dan FAMA menjadikan ia sebagai modul untuk dibawa ke seluruh negara dalam skala agak kecil dengan memperkenalkannya sebagai Mini MAHA.

Terbaru, Mini MAHA 2009 telah diadakan selama tiga hari di daerah Kubang Pasu iaitu bertempat di padang letak kereta Kompleks Changlun di sini bermula pada 23 Oktober lalu.

Mini MAHA 2009 yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar itu menarik pelbagai penyertaan termasuk agensi kerajaan khususnya di bawah kementerian tersebut, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) dan usahawan tempatan serta dari negeri lain.

Antara agensi kerajaan yang mengambil bahagian ialah FAMA, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Selain pameran dan jualan produk, pelbagai acara diadakan seperti seminar, peraduan melukis untuk kanak-kanak, demonstrasi masakan dan sebagainya yang jelas menjadi daya tarikan kepada pengunjung untuk ke Mini MAHA 2009.

Noh berkata, adalah menjadi harapan kementerian agar Mini MAHA akan menjadi landasan kepada petani dan usahawan khususnya bumiputera yang belum mencipta nama untuk mendapatkan pasaran lebih luas dalam jumlah yang besar.

"Mini MAHA 2009 memberi peluang kepada petani dan usahawan untuk memperkenalkan produk supaya ia dapat dikenali di kalangan pengunjung terlebih dahulu sebelum dipasarkan secara lebih meluas," katanya ketika berucap merasmikan Mini MAHA 2009 itu yang turut dihadiri Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin.

Selain itu, kata Noh, menerusi Mini MAHA 2009, petani dan usahawan di negeri Kedah khususnya di daerah Kubang Pasu dapat mengambil peluang untuk mendekati jabatan atau agensi berkaitan bagi membantu mereka menjalankan aktiviti masing-masing.

Ini kerana Mini MAHA adalah berkonsepkan kementerian 'turun padang' untuk mendekati rakyat iaitu petani dan usahawan supaya hasrat kerajaan membantu mereka terlaksana.

Ia selaras untuk memastikan rakyat di peringkat akar umbi mendapat manfaat di sebalik penganjuran Mini MAHA 2009.


Standchart Agih RM100 Juta Bantu Usahawan Wanita

Oleh Wan Nor Azura Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Standard Chartered Bank Malaysia Bhd menawarkan satu skim baharu untuk menyediakan pembiayaan bagi usahawan wanita dan menyasar mengagih RM100 juta dalam tempoh 18 bulan akan datang bagi menyokong perniagaan mereka.

Skim pembiayaan baharu itu yang dipanggil "Skim Jaminan Portfolio" akan membantu meningkatkan lagi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Ketua Negara Bahagian Perbankannya Pengguna Tiew Siew Chuen.

Skim tersebut yang pertama seumpamanya di Malaysia, menawarkan akses pembiayaan segera dan peluang meningkatkan daya saing perniagaan, katanya kepada BERNAMA.

Tiew berkata skim itu juga menawarkan kemudahan pembiayaan berjangka berjumlah antara RM100,000 dan RM500,000, bagi menyediakan modal kerja dan pembiayaan pemilikan aset PKS.

"Kami menyedari bahawa golongan usahawan wanita semakin meningkat dan mereka memerlukan lebih banyak sokongan untuk mengembangkan perniagaan mereka. Jadi kami bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) untuk menawarkan skim seumpama itu bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata terdapat hampir 83,000 perusahaan yang dimiliki kaum wanita terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian dan bilangannya dijangka meningkat.

Beliau berkata skim yang baru dilancarkan itu sangat menarik kerana ia juga menawarkan faedah lain seperti perlindungan insurans sehingga RM100,000 bagi 100 pelanggan pertama yang berjaya.

CGC akan bertindak sebagai penjamin, menawarkan perlindungan jaminan sebahagiannya bagi pinjaman tersebut, katanya, sambil menambah skim tersebut akan dilanjutkan kepada ahli perniagaan wanita yang telah berkecimpung dalam perniagaan tidak kurang dari lima tahun yang berhasrat untuk mengembangkan operasi mereka.

Standard Chartered menerajui jalan bagi PKS dengan menyediakan pembiayaan modal kerja untuk mereka mengembangkan operasi dalam persekitaran ekonomi yang serba mencabar.

"Momentum perniagaan PKS kami meningkat dengan ketara meskipun persekitaran luar yang mencabar. Kami melihat portfolio kami berkembang lebih 50 peratus tahun ini berbanding tahun lepas," kata Tiew.

Mengenai tumpuan bank itu pada 2010, Tiew berkata Standard Chartered akan menumpukan kepada pembiayaan rantaian bekalan untuk memudahkan pengembangan PKS dan membolehkan mereka menyertai dalam pembidaan tender kerajaan dan syarikat multinasional.

"Kami juga mengukuhkan pasukan PKS kami dan mengambil kira-kira 100 petugas untuk menyokong pertumbuhan kami tahun ini dan bagi tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Dengan sokongan yang diberikan CGC serta pakej rangsangan ekonomi kerajaan, akaun aset PKS bank itu berkembang sebanyak 50 peratus, yang mana melebihi RM600 juta di bawah skim jaminannya, katanya.

Tiew berkata Standard Chartered akan terus menyokong PKS dengan pelbagai produk dan perkhidmatan perbankan inovatif bagi memenuhi keperluan mereka, sama ada untuk modal kerja, pengurusan tunai, pembiayaan atau penyelesaian kewangan lain.

--BERNAMA


WASB Rancang Buka Francise 50 Kiosk Jualan Daging Segar

ALOR SETAR, 13 Sept (Bernama) -- Widad Agrofarm Sdn Bhd (WASB) merancang membuka 50 kiosk jualan daging segar tempatan pada harga mampu beli di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Anak syarikat milik penuh Widad Equity Holdings Sdn Bhd (WEHSB) itu telah membuat perancangan teliti bagi mencapai matlamatnya selain untuk mempastikan bekalan dari ladangnya di Sungai Laka, Changlun tidak terputus.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WEHSB, Datuk Muhammad Ikmal Opat Abdullah, perniagaan itu akan ditawarkan secara francise kepada usahawan tempatan.

Katanya sebanyak tiga kiosk akan dibuka di sekitar kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sebelum akhir tahun ini sementara permohonan untuk menjadi francisee dibuka mulai sekarang.

"Usahawan yang berminat boleh memohon melalui telefon 1800-88-6116. Modal yang diperlukan adalah sebanyak RM40,000," kata Mohammad Ikmal kepada pemberita selepas majlis pelancaran kiosk pertama WASB di Jalan Langgar di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr Abdul Razak Mohd Zailan melancarkan kiosk tersebut serta jualan daging terus dari ladang WASB pada harga RM17 sekilogram sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Semasa WASB ditubuhkan pada 2006, ia menjadi pengimport dan pengusaha lembu fitlot di ladang ternakannya seluas lapan hektar di Sungai Laka dengan matlamat membekalkan lembu daging di seluruh Kedah, tambahnya.

"Bagaimanapun setelah pusat pengumpulan lembu WASB di Kanchanburi, Thailand yang berfungsi sebagai pusat kuarantin diiktiraf oleh Development of Livestock, Thailand serta Jabatan Veterinar Malaysia, barulah kami merancang membuka kiosk jualan untuk menampung permintaan berjumlah kira-kira 3,000 ekor sebulan bagi negeri-negeri di kawasan utara sebelum diperluaskan ke seluruh negara".

-- BERNAMA



11 Mei, 2009 14:07 PM

Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Akan Ditubuhkan

PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen akan ditubuhkan bagi menyelaras semua projek pertanian di setiap kawasan Parlimen, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar.

Beliau berkata majlis itu bertanggungjawab memastikan semua maklumat terkini termasuk dari segi bantuan, peruntukan dan kemudahan yang disediakan kementerian sampai kepada para petani dengan cepat dan berkesan.

Katanya ia juga akan bertindak sebagai saluran kepada para petani untuk menyuarakan masalah yang dihadapi bagi membolehkan tindakan segera diambil pada masa itu juga, dan bagi masalah yang sukar pula ia perlu dimaklumkan kepada ibu pejabat.

"Majlis itu akan dipengerusikan sama ada oleh Anggota Parlimen, Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) atau pegawai yang layak mengikut kesesuaian. Pelantikan akan dibuat oleh kementerian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini, Isnin.

Majlis berkenan turut dianggotai wakil pertanian, penternak, nelayan, ibu tunggal dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Selain itu bagi memantapkan lagi sistem penyampaian kementerian, Noh berkata MOA Incorporated yang dianggotai agensi serta jabatan-jabatan berkaitan diarah bermesyuarat sebulan sekali bagi membincang dan menyelaras projek serta peruntukan agar tidak berlaku pertindihan dan persaingan sesama sendiri.

Sementara itu Noh berkata kementerian juga akan meneliti semula proses pemberian subsidi minyak diesel untuk memastikan bekalan subsidi dapat dinikmati nelayan di pulau-pulau dan kawasan pendalaman dengan mudah.

Noh berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat minyak yang dilantik tidak lama lagi bagi menjayakan hasrat itu.

-
- BERNAMA


11 Mei, 2009 17:42 PM

Fama Pantau Produk Pertanian Dari Negara Luar

SEPANGGAR, 11 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memastikan negara ini tidak menjadi tempat lambakan buah-buahan tidak bermutu dari negara luar.

Sehubungan itu peraturan 3P iaitu aspek pembungkusan, penggredan dan pelabelan terhadap produk pertanian dari luar akan dikuatkuasakan mulai hujung tahun ini, kata Ketua Pengarah Fama, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz.

Buat masa ini kebanyakan produk-produk pertanian yang masuk ke negara ini tidak digred atau dilabel, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Melalui peraturan 3P, produk pertanian yang dieksport dan diimport dapat digred mengikut piawaian standard, manakala bayaran terhadap barang-barang import juga dapat ditentukan melalui gred, berbanding cara sekarang yang mana harga ditentukan melalui perbincangan antara dua pihak," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian kursus bagi kakitangan baru Fama Sabah dan Sarawak di sini, Isnin oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

Yahya pula berkata Fama dan kementeriannya akan meningkatkan lagi pengeluaran dua produk terkenal dari Sabah iaitu limau bali dan halia ke negara luar.

"Kita telah mengeksport limau bali ke Indonesia, tetapi bekalannya tidak mencukupi kerana pengeluaran yang tidak dapat memenuhi permintaan.

"Eksport halia ke negara Belanda juga terpaksa diberhentikan sebelum ini kerana tidak cukup pengeluaran.

"Jadi sekarang usaha adalah untuk meningkatkan pengeluaran melalui perladangan kontrak," katanya.

-- BERNAMA


Projek diusaha lulusan diploma di UiTM di Kampung Bantayan, Tamparuli jimat tenaga kerja dan beri hasil berganda

TUARAN: Walaupun penanaman sayur-sayuran menerusi kaedah fertigasi sudah lebih dua abad diusahakan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan nyata menguntungkan pengusaha, hakikatnya pendekatan itu masih asing di kalangan petani di Sabah.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar petani masih mengamalkan kaedah lama, sekali gus dikekang pendapatan terhad selain terpaksa berdepan pelbagai masalah kerosakan tanaman akibat serangan serangga perosak.

Bagaimanapun, kaedah lapuk dalam pertanian mula pupus secara beransur-ansur berikutan usaha pelbagai pihak termasuk kerajaan memperkenalkan formula terkini ke arah mencari pembaharuan di bidang itu.

Hasilnya, penanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah fertigasi wujud buat pertama kalinya di daerah ini iaitu di kawasan seluas 0.25 hektar di Kampung Bantayan, Tamparuli sejak setahun lalu.

Penanaman menggunakan kaedah fertigasi sepenuhnya itu diusahakan Cuzzanina Augustine Lubit, 30, lulusan Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terlebih dulu menjalankan kajian mengenai kesesuaian kaedah berkenaan.

Walaupun kaedah fertigasi memerlukan perbelanjaan tinggi untuk dilaksanakan, ia berjaya dikurangkan menerusi kepakaran selain memanfaatkan sepenuhnya bahan gantian yang ada di sekitar kampung.

Usaha itu bermula dengan proses pembajakan tapak dan penyediaan sistem pengairan. Pada awal pelaksanaan, ia menelan belanja RM20,000 sejak dimulakan pada November 2007.

Suami Cuzzanina, Peter Lintar, 36, yang bertindak sebagai juruperunding projek berkata, projek menggunakan kaedah fertigasi sangat berdaya maju jika diusahakan bersungguh-sungguh.

“Kajian menunjukkan proses pembajakan dan pengairan secara serentak terus ke zon tumbuh-tumbuhan dapat menjamin kualiti tanaman dihasilkan bermutu tinggi.

“Tanaman akan menerima baja lengkap yang mempunyai unsur mikro dan makro. Kami mencuba dengan mengusahakan cili, timun Jepun dan tomato.

“Setiap baris batas disediakan mampu memuatkan 144 pokok timun Jepun dan 93 pokok cili. Sebahagian besar benih diperoleh di pekan Tamparuli,” katanya dalam pertemuan di ladang itu, baru-baru ini.

Peter berkata, projek itu mempunyai banyak kebaikan dari segi pemberian nutrien lengkap yang boleh dikawal mengikut kehendak tanaman berdasarkan jenis dan peringkat pertumbuhan.

Fertigasi adalah kaedah pilihan menggantikan formula konvensional dalam menangani masalah tanah mati, tidak subur, masam, berbatu dan tercemar.

Beliau berkata, pembesaran dan persekitaran menjamin kebersihan, selain menghindar masalah penyakit tanaman serta membantu meningkatkan hasil.

“Oleh kerana 60 peratus peralatan penanaman kaedah fertigasi sepatutnya menggunakan besi galvani memerlukan kos tinggi, pengusaha boleh mengurangkan sehingga 80 peratus perbelanjaan dengan memanfaatkan kayu hutan.

“Jika itu dilakukan, petani kampung mampu menceburi bidang itu secara besar-besaran sebagai menggantikan kaedah pertanian lama yang kurang menguntungkan.

“Kebaikan lain projek itu ialah menjimatkan tenaga kerja, meningkatkan hasil sehingga tujuh kali ganda, menjimatkan kos baja tahunan, kos tenaga elektrik dan air,” katanya.

Peter berkata, setiap 1,000 pokok cili ditanam menggunakan kaedah fertigasi mampu memberi kira-kira 4,000 kilogram hasil semusim penuaian dengan nilai pendapatan RM20,000.

Beliau berkata, pasaran cili, timun Jepun dan tomato yang dijangka boleh dituai hasil pertamanya Ogos ini ialah Brunei dan Miri, Sarawak.

Memo

Pameran: Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism International Show (Maha) 2010


Tarikh: mula, 26 hb NOV 2010, selama 10 hari

Masa:


Tempat:
Malaysia Agro-Exposition Park Serdang (MAEPS)


slide

Chat

Profil Syarikat

D ONE FARM
(RA 0017033-A )
D/A SEKOLAH RUMINAN
KOLEJ PERTANIAN MALAYSIA,
KAMPUS BUKIT TANGGA,
06050 BUKIT KAYU HITAM,
KEDAH DARUL AMAN.

E-MAIL: donefarm@gmail.com

Followers

Jumlah Pelawat

Apakah bidang pertanian yang menjadi pilihan anda?

BlogMalaysia.com